Tiada rezeki, Yatt Hamzah keguguran selepas alami keracunan makanan


Hasrat pelakon dan pengacara, Yatt Hamzah untuk menimang cahaya mata kelima tidak kesampaian apabila mengalami keguguran selepas keracunan makanan petang semalam.
Berita sedih tersebut dikongsi Yatt atau nama penuhnya Haryati Hamzah di Instagram yang memberitahu dia mengalami cirit-birit dan muntah selepas makan malam di sebuah restoran di Melaka pada Isnin lalu.


“Wahai anak bonda yang ke-5, tiada rezeki bonda untuk mendakap dan besarkan kamu di dunia seperti kakak2 yang lain. Semoga ada rezeki berjumpa dan mendakapmu di akhirat nanti
“Sejak semalam bonda keracunan makanan hingga cirit birit dan muntah selepas makan di restoran ikan bakar pada malam sebelumnya. Mulanya ingat sakit perut kerana keracunan sahaja. Rupanya kamu nak pergi tinggalkan bondanya,” katanya.
Menurut pelakon berusia 40 tahun itu, dia mengalami panik kerana itu adalah pengalaman pertama keguguran selain memohon doa orang ramai supaya kesihatannya kembali pulih.
Untuk makluman, Yatt berkahwin dengan Mohamad Zulfahdli Khiruddin pada Februari 2016 dan dikurniakan tiga cahaya mata perempuan.
Yatt turut memiliki seorang lagi anak perempuan menerusi hasil perkahwinan terdahulu dengan Abdul Mutalib Shukor.